Friday, 1 May 2009
REZEKI HALAL PUNCA DIKABULKAN DOA blogg-ed at 15:14
Ugama islam menggalakkan kita berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal dan bersih dari segala perkara yang dilarang atau yang diharamkan oleh Allah subhanahu wata’ala kerana makanan atau minuman yang bersih dan halal itu menjadi punca kebersihan jiwa dan tubuh badan. Ianya juga mempunyai pengaruh yang kuat terhadap pembentukan dan perkembangan jasmani dan rohani pada diri seseorang.
Makanan dan minuman yang halal akan membentuk diri seseorang dalam menuju kearah ketaatan kepada Allah subhanahu wata’ala dan menjadikan seseorang itu sentiasa patuh kepada perintah-perintah Allah.
Memakan makanan yang halal itu akan menambah cahaya pada hati serta melembutkanya. Selain itu ia akan menimbulkan kegentaran terhadap kebesaran Allah Ta’ala, mencergaskan seluruh anggota badan untuk beribadat dan berbuat ta’at, mengurangkan kecenderungan hati kepada dunia dan menambahkan ingatan terhadap hari akhirat. Semua sifat-sifat tersebut akan menjadi sebab utama terkabulnya amal salih dan doa.
Berbanding dengan orang yang makan minumnya bercampur-aduk dengan perkara atau barang-barang yang haram, tentu jiwanya akan lemah dan senang dipengaruhi oleh hawa nafsu dan hasutan syaitan. Mereka ini akan berada jauh dari segala kebajikan, kerana makanan yang haram atau syubhat itu akan mengeras dan mengelapkan hati, mengekang seluruh anggota badan dari beribadat dan berbuat taat kepada Allah Subhanahu Wata’ala, sebaliknya akan menjadikan seseorang itu sentiasa mencintai dunia. Orang yang berada dalam keadaan seumpama ini hidupnya dalam bahaya kerana dikhuatiri kelalaiannya akan menariknya kepada mati dalam keadaan suul-khatimah iaitu mati dalam keadaan yang penuh siksa.
Memelihara diri dari yang haram atau yang syubhat, serta mencari dan memakan hanya makanan yang halal sahaja dan menjauhi makanan yang haram adalah amat penting dalam agama. Dan dikira antara perkara-perkara yang boleh mendekatkan seseorang hamba Allah kepada tuhannya,
Dihasilkan oleh : Cikgu Dayang Safiah binti Awang Haji Abdul Halim
(2009)