Menyebut akan kata atau istilah ibu, semua mengetahui siapa mereka. Ibu merupakan “ ROLE MODEL” bagi anak-anak sama ada dari segi perbuatan , percakapan tingkahlaku atau sebagainya kerana dorongan naluri mereka yang suka mengikut dan meniru tindak tanduk ibunya.
Ibu atau wanita merupakan sekolah pertama bagi anak-anak mereka. Disinilah para ibu memainkan peranan penting untuk mendidik , mengasuh , mencorak , membentuk keperibadian anak menjadikan mereka anak yang salih dan salihah. Memandangkan peringkat awal pendidikan anak-anak bermula dirumah dan dibawah penjagaan ibu sepenuhnya.
Wajarlah para ibu memiliki akhlak yang mulia dan sifat yang terpuji, berpegang teguh kepada agama dengan melakukan suruhan dan menjauhi larangan.
Mendidik anak merupakan tanggungjawab yang berat dan tidak boleh dianggap perkara remeh. Anak merupakan amanah Allah Ta’ala yang mesti kita jaga dan pelihara dengan baik. Selain melahirkan anak yang pintar, pandai , berilmu ibu juga memainkan peranan penting dalam membentuk atau melatih naluri anak-anak. Seperti :
1- Menghargai atau mensyukuri nikmat keindahan ciptaan Allah Ta’ala.
2- Jangan bersikap ganas atau jahat.
3- Menjadikan seorang insan yang mulia, sempurna, bersifat penyayang , jujur, amanah , menghormati orang tua, guru dan sebagainya.
Sebagai seorang ibu kita harus bijak membahagikan masa. Luangkanlah sedikit masa bersama anak-anak kerana mereka memerlukan perhatian dan kasih sayang. Jangan sia-siakan dan diabaikan kerana boleh mendatangkan kepada mereka gejala yang kurang sihat seperti pergaulan bebas, yang boleh mengakibatkan keluarga akan menanggung risiko disebabkan kelalaian dan tidak ada perihatian dari keluarga itu sendiri.
Oleh itu kita sebagai seorang ibu harus berhati-hati dalam memberikan pendidikan awal terhadap anak kita, agar jangan sampai kita tersilap langkah kerana kita selaku ibubapa akan bertanggungjawab diakhirat nanti.
Dengan adanya didikan yang sempurna dari semua aspek . insyaallah anak-anak kita akan mendapat rahmat dan hidayatnya jua dari Allah Subhanahu Wata’ala. Semua ini adalah atas jasa dan pengorbanan dari seorang ibu.